Monday, January 3, 2011

Laporan polis terhadap Shuhaimi

Gabungan Anti-Penyelewengan Selangor (GAPS) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Muda, Shuhaimi Shafiei yang mempertikaikan pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang disifatkan menderhaka kepada sultan.
Pengerusi GAPS, Hamizun Khairuddin berkata, kenyataan ADUN dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berunsurkan fitnah, menghina, menggertak, mengugut dan derhaka kepada institusi raja di negeri ini.
Menurut beliau, laporan polis itu dibuat adalah untuk menggesa pasukan keselamatan bertindak tegas terhadap ADUN tersebut.
“GAPS akan membuat laporan polis setiap hari di semua daerah sehingga ADUN tersebut dikenakan tindakan.
“Perlakuan itu tidak boleh dibiarkan, apa lagi bertolak ansur dengannya kerana ia amat biadab dan kurang ajar,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Hamizun berkata, GAPS mencadangkan pertuduhan di bawah Seksyen 121 Kanun Keseksaan dikenakan terhadap Shuhaimi kerana perbuatan mengugut Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Laporan telah dibuat di Balai Polis Seksyen 6 di sini yang dihadiri kira-kira 20 ahli GAPS, Perkasa dan 4Justice. Turut hadir Timbalan Pengerusi GAPS, Wan Indera Putra Ahmad.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan laporan yang dibuat oleh GAPS.
Utusan Malaysia dalam laporannya hari ini menyebut gesaan UMNO Selangor supaya Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan tegas terhadap Shuhaimi ekoran kenyataan yang didakwa menghasut rakyat menentang institusi beraja di negeri ini.
Ketua Penerangannya, Abdul Shukor Idrus berkata, tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) harus dikenakan terhadap wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu kerana kenyataannya yang dibimbangi boleh menggugat sistem pentadbiran dan keselamatan negara.
Pada 31 Disember lalu, Shuhaimi menerusi laman blognya, http://srimuda.blogspot.com didakwa terang-terangan menentang keputusan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memperkenankan pelantikan Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).
Menurut Shuhaimi, pelantikan jawatan SUK tidak memerlukan perkenan Sultan Selangor sebaliknya ia adalah di bawah bidang kuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan baginda seharusnya bertindak berdasarkan nasihat majlis berkenaan, bukannya berkecuali.
Malah, Shuhaimi menerusi kenyataan di dalam blog berkenaan seolah-olah turut memberikan amaran kepada institusi beraja Selangor supaya “tidak berterusan bertindak membelakangkan MMKN atau terpaksa berdepan dengan gelombang kebangkitan rakyat bagi menentang pihak istana”.
Tidak cukup dengan itu, wakil rakyat PKR itu turut menyatakan kononnya rakyat akan menolak sebarang tindakan “Beraja di mata, bersultan di hati” oleh mana-mana pihak yang bertindak sewenang-wenangnya, tidak kira sama ada oleh “raja yang berjiwa rakyat atau rakyat yang berjiwa raja”.

No comments:

Post a Comment