Meskipun sedar tidak mempunyai majoriti dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tetap mahu meminda perlembagaan negeri bagi membolehkannya mempunyai kuasa mutlak dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri.
Menteri Besar berkata, pindaan itu akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat kerana beliau yakin ada pihak lain dalam Barisan Nasional (BN) yang akan turut menyokong usul pindaan itu.
“Kita tidak ada majoriti dua pertiga tetapi kita yakin ada sesetengah pihak dalam BN akan menyokong usaha mengembalikan kuasa kepada negeri bagi melantik SUK,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Majlis Anti Pemerdagangan Manusia Negeri Selangor (Mapmas) di Bangunan SUK di sini hari ini.
Abdul Khalid mengulas rancangan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor untuk meminda perlembagaan negeri walaupun tidak mempunyai majoriti dua pertiga di DUN bagi membolehkan usul tersebut diluluskan.
Kerajaan negeri yang melibatkan gabungan PKR, DAP dan Pas hanya mempunyai 35 kerusi dalam DUN manakala BN memiliki 20 kerusi dan 1 kerusi Bebas.
Kerajaan negeri memerlukan sokongan daripada sekurang-kurangnya 38 wakil rakyat dalam DUN bagi melakukan pindaan tersebut.
Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Mohamad Satim Diman menyatakan pendirian bahawa semua wakil rakyat BN akan memboikot sidang tergempar DUN itu.
Abdul Khalid berkata, pada masa ini kerajaan negeri telah melantik pengamal undang-undang, Datuk Param Cumaraswamy dan pensyarah undang-undang Universiti Islam Malaysia (UIA), Prof. Dr. Abdul Aziz Bari untuk membantu menyediakan draf pindaan undang-undang tersebut.
“Kita sedang buat draf pindaan. Namun saya tidak boleh dedahkan sekarang. Sama ada draf pindaan ini akan dikemukakan kepada Sultan Selangor untuk pertimbangan, ia terpulang kepada modus operandi yang dicadangkan oleh pakar berkenaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment