KANGAR 18 Feb. - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) negeri menyarankan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan peraturan atau garis panduan berhubung had umur bakal-bakal calon yang akan bertanding pada pilihan raya di negara ini.Yang Dipertua Perkasa Perlis, Ameir Hassan memberitahu, langkah tersebut perlu kerana usia memainkan peranan penting untuk menentukan kemampuan sebenar seseorang wakil rakyat dalam usaha memberikan perkhidmatan lebih berkesan kepada masyarakat.
"Sebagai contoh, SPR boleh menetapkan had umur calon pilihan raya tidak melebihi 65 tahun kerana wakil rakyat yang terlalu tua seringkali gagal berkhidmat dengan baik, malah lebih mudah diserang penyakit," katanya pada sidang akhbar di sebuah hotel di sini semalam.
Selain itu, katanya, Perkasa Perlis juga berharap SPR menetapkan peraturan supaya calon-calon pilihan raya yang dipilih diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu sebelum dibenarkan bertanding.
Ameir menjelaskan, pendirian Perkasa Perlis berhubung perkara itu dibuat selepas mengambil kira senario politik semasa termasuk beberapa pilihan raya kecil yang terpaksa diadakan ekoran kematian wakil-wakil rakyat di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, menerusi peraturan tersebut, ia juga dapat memberi peluang kepada calon-calon lebih muda untuk berkhidmat dengan baik di samping mewujudkan rangkaian pelapis dalam kalangan wakil rakyat.
Sementara itu, Perkasa Perlis meminta pemimpin UMNO peringkat negeri kembali bersatu untuk kepentingan rakyat khususnya orang Melayu.
"Buang ego dan sikap mementingkan diri sendiri, kembali berbaik-baik dengan mempunyai matlamat untuk berkhidmat kepada masyarakat yang memilih mereka sebagai pemimpin," tambah beliau.
Kata beliau, Perkasa Perlis sanggup menjadi 'orang tengah' untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku antara pemimpin UMNO di Perlis demi perpaduan orang Melayu.
No comments:
Post a Comment